Tuesday, April 7, 2009

MPAJ tambah kemudahan OKU

AMPANG 17 Feb. – Golongan kurang upaya (OKU) di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini tidak perlu gusar lagi apabila pelbagai prasarana khas akan disediakan bagi kemudahan mereka.

Antara kemudahan khas yang akan disediakan ialah tempat letak kereta, tandas, laluan dan disusuli dengan kemudahan lain di pusat beli-belah dan bangunan awam yang lain.

Perkara itu dicapai dalam sesi dialog antara OKU, agensi kerajaan dan pihak swasta bersama MPAJ di Kelab Tasik Pandan di Pandan Perdana hari ini.

Ia turut dihadiri oleh wakil Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Wilayah Persekutuan, Ahli Majlis serta Ketua Bahagian di MPAJ, pihak pemaju dan persatuan yang mewakili OKU.

Sesi dialog itu juga membincangkan secara terperinci mengenai permasalahan itu dan jalan penyelesaiannya.

Program yang julung-julung kali diadakan itu dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua merangkap Setiausaha MPAJ, Abd. Hamid Hussain.

Menurut Abd. Hamid, pelbagai inisiatif akan diambil oleh MPAJ untuk membantu OKU dalam jangka panjang dan jangka pendek dan ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan kawasan Pandan Perdana menjadi kawasan pertama mendapat kemudahan itu.

Mengenai cadangan MPAJ mengambil OKU sebagai kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, beliau berkata, pihaknya memang digalakkan mengambil sekurang-kurangnya satu peratus daripada kakitangannya daripada kalangan OKU.

Namun, katanya, ia perlu memenuhi beberapa syarat seperti pendidikan dan kemahiran dalam sesuatu bidang, kesesuaiannya dengan pekerjaan yang dipohon dan kekosongan jawatan.

Sementara itu, satu taklimat telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah JKM, Yeoh Joo Ai, Pengerusi Persatuan Mobiliti Selangor dan Kuala Lumpur, Anthony Arokia, Pengerusi Persatuan OKU, Peter Tan dan Ahli Majlis Kebangsaan Akta OKU, Naziaty Mohd. Yaacob mengenai keperluan golongan itu.

Ia diharap dapat mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak OKU dan mendedahkan peranan PBT dan organisasi lain di dalam memastikan pelaksanaan pembangunan yang tidak mengabaikan golongan tersebut.

No comments:

Post a Comment