Tuesday, March 17, 2009

Semangat Aisyatul

Aisyatul: Buta bukan halangan


KUALA LUMPUR 10 Mac - Seminggu selepas mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) lima tahun lalu, Nur Aisyatul Radiah Alidaniah, 20, tiba-tiba hilang penglihatan sewaktu terjaga dari tidurnya.

Aisyatul pada masa itu tidak dapat menerima hakikat nikmat penglihatannya 'ditarik' tuhan tiga tahun lebih awal daripada jangkaan pakar mata, akibat masalah pada saraf optik yang dihidapinya.

"Kerana tidak berpuas hati dan tidak dapat menerima kenyataan bahawa saya telah buta yang dijangka menimpa saya pada umur 18 tahun, saya merahsiakannya daripada pengetahuan ahli keluarga.

"Tetapi selepas seminggu menahan sebak, luluh di hati dan hilang punca kerana menjadi buta, akhirnya saya memberitahu ibu perkara sebenar," katanya.

Dia ditemui pada majlis pengumuman dan penyampaian anugerah cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 di sini hari ini dengan ditemani ibunya, Halimah Othman, 43.

Nyata masalah cacat penglihatan pada dirinya tidak menghalang beliau daripada dipilih sebagai Pelajar Cemerlang STPM 2008 bagi Kategori Pelajar Calon Istimewa (Kategori Buta) selepas mencatat keputusan 4 Prinsipal (P) dalam semua mata pelajaran diambilnya.

Dia yang merupakan calon aliran sastera mendapat A dalam mata pelajaran Sejarah dan B dalam Bahasa Malaysia, Pengajian Am serta Ekonomi.

Aisyatul yang bercita-cita menjadi ahli astronomi sejak kecil, terpaksa 'menukar' impian kepada pendidik bagi menabur kembali bakti kepada masyarakat, khususnya buat golongan pelajar kurang upaya (OKU).

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin di Tuaran, Sabah itu menceritakan, antara kepayahan beliau menuntut ilmu selepas mengalami cacat penglihatan termasuklah kurang bahan rujukan.

"Adakalanya, saya terpaksa meminta bantuan rakan membacakan sesebuah bahan rujukan sambil saya menulisnya kembali dalam bentuk Braille dan mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli keluarga, guru-guru dan rakan seperjuangan.

"Tidak semua buku rujukan untuk STPM ada dalam bentuk Braille dan saya bercita-cita mengubah situasi ini apabila bergelar pendidik nanti, Insya-Allah," ujarnya.

Seorang lagi penerima kategori serupa (Spastik), Hashim Mohamad, 20, memberitahu, beliau mendapat inspirasi untuk berjaya selepas menyaksikan dua kakaknya menjadi jurutera, selain seorang lagi sedang menuntut di Republik Czech dalam jurusan perubatan.

''Kecacatan tidak menghalang saya untuk bercita-cita menjadi peguam atau penasihat undang-undang suatu hari nanti," kata anak penoreh getah bekas pelajar SMK Kuala Krai, Kelantan itu.
Hashim yang juga calon aliran sastera mendapat A dalam mata pelajaran Pengajian Am; Bahasa Malaysia (A-), Kesusasteraan Melayu (B), Sejarah (B-) dan Geografi (B).

Seorang lagi pelajar dari SMK Pendidikan Khas Setapak di sini, Chai Wei Xiong, 21, turut dipilih sebagai pelajar cemerlang dalam kategori sama (Pekak/Bisu).

"Saya berbangga dapat keputusan dua B+, satu B dan satu C dalam keempat-empat mata pelajaran yang diambil (Sejarah, Bahasa Malaysia, Pengajian Am dan Ekonomi),'' jelasnya melalui bahasa isyarat yang diterjemahkan gurunya, Cheang Seok Chin.
ULASAN:
Persoalannya...sekolah tersebut seharusnya sedar terdapat pelajar yang kurang upaya di sekolah mereka. Mengapa tidak disediakan kemudahan kepada pelajar-pelajar yang berkenaan. Bayangkan jika tiada rakan-rakan yang membantu membaca buku-buku untuk Aisyatul, agaknya bagaimanakah beliau harus belajar jika tiada bahan rujukan? Seharusnya pihak sekolah memainkan peranan dan menyedari keperluan belajar pelajar kurang upaya.