Sunday, April 5, 2009

Firdaus kecil tapi kental..

Firdaus kecil tapi kental
Oleh Nurul Adlina Kamaludinadlina@bharian.com.my


BELIAU pernah dicerca dan diketepikan dalam 11 temu duga kerja hanya kerana kekurangan dirinya yang dilahirkan sebagai insan kerdil. Namun, ia terbukti tidak pernah mematahkan semangat Firdaus Mohamad @ Kamal yang biarpun baru berusia 20 tahun tetapi sudah mampu meraih pendapatan empat angka iaitu sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan. Ini hasil usahanya sebagai usahawan syarikat I Tech Technology yang menyediakan perkhidmatan baik pulih dan aksesori komputer miliknya di Segambut.


Firdaus Mohamad @ Kamal.

Siapa sangka, biarpun ketinggiannya cuma 115 sentimeter, namun jiwa, hati, tekad dan semangatnya jauh lebih besar daripada insan normal lain dan sanggup menempuh dugaan yang melanda hasil persepsi negatif segelintir masyarakat yang meragui kemampuannya. Beliau tidak kisah biarpun terpaksa turun padang dan berharap bantuan rakan menghantarnya menemui pelanggan, selain perlu menebalkan muka mengedar kad nama di sebarang majlis atau ekspo bagi mempromosi syarikatnya. Bagi Firdaus, selain mencari rezeki halal demi masa depan, niatnya juga mahu membahagiakan kedua orang tuanya, Kamal, 64 tahun dan Rohani, 55, yang mencari rezeki sebagai penjual sate. Tekadnya, membawa mereka menunaikan ibadat haji hasil titik peluhnya sendiri selain membuka kilang barangan terpakai komputer.



Kesungguhan dan keikhlasan Firdaus itu bukan hanya mengagumkan ramai, termasuk bekas guru dan rakan-rakannya, tetapi turut memberi tamparan hebat kepada insan normal lain yang sanggup menganggur tanpa berusaha atau kerana terlalu memilih kerja. "Biarlah apa orang nak kata. Apa lebih penting adalah impian dan semangat untuk menjadikan apa yang kita inginkan itu satu kenyataan. Memang orang boleh kata apa pun, tetapi pokok pangkalnya, terletak pada diri sendiri. Alhamdulillah, setakat ini, Allah permudahkan usaha saya," kata anak kelahiran Rawang, Selangor, yang tampil segak berpakaian kemas, ketika ditemui baru-baru ini Tutur katanya yang berhati-hati itu turut membuktikan dirinya yang kelihatan lebih matang daripada usia sebenarnya, mungkin kerana pernah melalui liku hidup penuh kesukaran untuk bergelar usahawan muda. Menyingkap suka duka perjalanan hidupnya sebelum bergelar usahawan, anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata bidang komputer sememangnya tidak asing bagi dirinya. Namun, ia lebih kepada minat iaitu suka bermain permainan video ketika menjadi pelajar.
Firdaus Mohamad @ Kamal.Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia pada 2007, beliau sempat bertugas di sebuah kilang membuat piala di Segambut selama sebulan. Peluang terbentang di depan mata apabila bapanya, membawa pulang borang kursus Pembantu Juruteknik Sistem Komputer Pusat Giat Mara Segambut. "Saya mengikuti kursus itu selama setahun dan diberikan sijil Giat Mara dan sijil Kemahiran Malaysia. Selepas tamat pengajian, saya cuba memohon pekerjaan, termasuk menempuh 11 temu duga, tetapi gagal kerana keadaan fizikal saya. "Lebih sedih lagi, sudahlah tidak diberi peluang, ada pula yang melontarkan kata-kata seperti 'boleh ke kau buat kerja macam ni?' Saya meminta diberi peluang untuk membuktikannya. Tetapi harapan tinggal harapan. Saya tidak menerima apa-apa jawapan balas. Sudah pasti rasa terkilan dan sedih juga kerana masih ada pihak yang memandang rendah keupayaan insan seperti saya." Kegagalannya itu tidak melemahkan semangat Firdaus yang sebaliknya terus memanfaatkan peluang ada bagi merangka rancangan seterusnya. "Tahun lalu, saya menemui Pengurus Pusat Giat Mara Segambut, Nurul Azimah Mohd Ani. Akhirnya pada Julai 2008, saya dapat membuka I-Tech Technology yang buat sementara ini ditempatkan di lot kedai di Pusat Teknopreneurs Giat Mara di Taman Sri Sinar, juga di Segambut." Hasil bantuan Pusat Giat Mara yang memberinya elaun sara hidup RM200 sebulan, membayarkan sewa tapak kedai, menyediakan peralatan untuk beroperasi serta wang RM1,000 dipinjam daripada abangnya, Firdaus akhirnya membuka I-Tech Technology. Kini, selain melakukan sendiri semua tugasan penting - membaiki komputer, melakukan pemasaran dan promosi serta bertemu pelanggan, Firdaus boleh tersenyum bangga kerana mampu meraih pendapatan agak lumayan itu. "Saya perlu rajin mencari peluang dan pelanggan, biarpun di kawasan luar Segambut. Buat masa ini, pelanggan utama saya adalah pihak Giat Mara sendiri. Saya juga mengenakan bayaran berbeza bagi servis baik pulih komputer mengikut kategori. Pelajar misalnya yang hanya perlu membayar kira-kira RM40 manakala syarikat pula serendah RM70 bagi setiap unit komputer." Biarpun penat kerana waktu kerja yang tidak menentu termasuk pada hujung minggu selain terpaksa berulang alik menaiki komuter dari rumahnya, ia bukanlah masalah besar bagi Firdaus. "Apa yang penting, kita harus jujur, ikhlas dan berusaha selagi terdaya," katanya yang turut menjadi mentor kepada sekumpulan bekas pelatih Pusat Giat Mara berkenaan.


Firdaus turut menjadi mentor kepada pelajar lepasan Pusat Giat Mara Segambut.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment