Saturday, March 28, 2009

Sasaran Satu Peratus Pekerjaan Untuk OKU

http://www.emoss.com.my/info/rakansarawak/102005/news/nw02.shtml

OKTOBER 2005

Semua majikan swasta di negara ini perlu menyediakan sekurang-kurangnya satu peratus daripada jawatan dalam syarikat atau organisasi mereka kepada golongan orang kurang upaya ( OKU) apabila satu akta berkaitan yang sedang dalam perancangan diperkenal tidak lama lagi.

Kerajaan terpaksa mengambil tindakan itu bagi memastikan OKU di negara ini tidak terpinggir di samping membantu menyediakan peluang yang lebih besar bagi mereka bekerja dalam sektor swasta. Dasar menyediakan sebanyak satu peratus pekerjaan kepada golongan berkenaan dalam sektor awam telah dibuat sejak akhir tahun 1990-an.

Sehingga Februari tahun ini, kira-kira 5,582 golongan OKU bekerja dalam sektor awam di negara ini. Namun bilangan itu tidak sampai kepada sasaran dan lebih mengecewakan ialah bilangan yang bekerja di sektor swasta hanya kira-kira empat ribu orang sahaja berbanding kira-kira 30 ribu OKU yang mencari pekerjaan dalam sektor swasta setiap tahun.

Menyedari situasi itu, Jabatan Tenaga Kerja telah meningkatkan usaha membawa golongan itu masuk ke pasaran pekerjaan. Ia juga selaras dengan matlamat untuk mengurangkan pergantungan negara terhadap pekerja asing.

Sehubungan itu program ‘ Sure Kerja’ yang dilancarkan pada Oktober 2004 dengan tujuan untuk membantu kumpulan sasarnya seperti OKU, suri rumah, dan ibu tunggal merupakan usaha yang perlu diteruskan. Untuk menggalakkan OKU bekerja, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia juga telah menggiatkan usaha bagi menggalakkan majikan melaksanakan pembaharuan atau perubahan pekerjaan dengan memperkenalkan flexy wages, flexy working hours, firm office, outsourcing serta menubuhkan pusat asuhan kanak-kanak ( PAKK) di tempat kerja.

Langkah-langkah itu diharap dapat menggalakkan OKU, suri rumah dan ibu tunggal mendapatkan pekerjaan. Kementerian Sumber Manusia juga mempunyai sebuah jawatankuasa teknikal bagi OKU yang berperanan memberikan pandangan dan saranan kepada pihak Kementerian.

Antara saranan yang telah dilaksanakan ialah melatih OKU dalam pelbagai bidang termasuk sebagai operator, pengendalian komputer, kemahiran bahasa, kraftangan, penyambut tetamu dan sebagainya.

Kesedaran kepada orang ramai khususnya majikan di sektor swasta dan latihan yang disediakan oleh kerajaan kepada OKU itu diharap dapat meningkatkan penyertaan OKU dalam pasaran kerja seterusnya turut sama menyumbang kepada pembangunan negara

No comments:

Post a Comment